Esei Pendidikan Moral 2019

Suatu draf karangan untuk sesuatu projek mata pelajaran Pendidikan Moral yang ditulis pada tahun 2019.

Latar belakang: walaupun draf ini sepatutnya ditulis pada suatu hari dalam tahun 2019 (ketika saya masih seorang pelajar Tingkatan 5 atau Senior 2 di sekolah menengah), namun tarikh penulisan sebenarnya sudah tidak dapat dipastikan, dan tarikh yang ditetapkan dalam laman web ini merupakan tarikh yang boleh saya dapati di dokumen draf ini yang disimpan dalam komputer saya sahaja.

Untuk makluman, Pendidikan Moral merupakan salah satu subjek yang wajib dipelajari oleh murid-murid sekolah menengah bukan Islam di Malaysia yang perlu menduduki peperiksaan SPM.

Susunan perenggan bagi versi ini juga diubahsuaikan daripada versi asal demi kesenangan pembacaan.

Punca berlakunya situasi segelintir anggota keluarga masyarakat yang sanggup menempatkan ibu bapa mereka di rumah orang-orang tua termasuklah tanggapan (fikiran) anggota-anggota keluarga tersebut yang memandangkan ibu bapa mereka sebagai suatu bebanan. Mereka tidak mengamalkan nilai kasih sayang terhadap keluarga.

Hal ini bermaksud mereka tidak memberikan kasih sayang yang mendalam kepada ibu bapa mereka.

Contohnya, oleh sebab ibu bapa sudah berusia (tua) dan uzur apabila anak mereka menjadi dewasa, ibu bapa tersebut akan mengalami masalah kesihatan dan tidak dapat menjaga diri tanpa bimbingan orang lain. Sebagai anak kepada ibu bapa tersebut, mereka seharusnya menyayangi dan ibu bapa mereka pada setiap masa.

Namun begitu, mereka menganggap bahawa ibu bapa mereka akan membebankan dan menjejaskan kehidupan mereka serta tidak sudi untuk menjaga mereka. Implikasinya, mereka menempatkan ibu bapa mereka di rumah orang-orang tua.


Sehubungan dengan itu, sesetengah anggota keluarga masyarakat menempatkan mereka di rumah orang-orang juga berpunca daripada budaya hidup pada era ini yang mengutamakan individualisme dan memandang remeh terhadap nilai kekeluargaan. Sedangkan mereka memahami kesan negatif yang akan datang sekiranya ibu bapa mereka ditempatkan di rumah orang-orang tua, mereka tetap berbuat demikian bagi memenuhi tujuan dan kehendak diri sendiri.

Mereka tidak mengamalkan nilai tanggungjawab terhadap keluarga dan mengabaikan tanggungjawab diri untuk menjaga ibu bapa yang tua. Sebagai contoh, sesetengah individu sanggup menempatkan ibu bapa mereka di rumah orang-orang tua kerana teman cintaan mereka yang menyuruh mereka berbuat demikian.

Keadaan ini membuktikan bahawa sikap mereka yang mementingkan diri menimbulkan situasi penempatan ibu bapa di rumah orang-orang tua.


Dalam pada itu, sebab lain fenomena penempatan ibu bapa di rumah orang-orang tua berlaku ialah kekurangan pendidikan agama dan nilai kemoralan yang patut diberikan kepada anak-anak sejak kecil lagi, bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Individu-individu tersebut yang menempatkan ibu bapa di rumah orang-orang tua tidak menyedari kepentingan nilai kekeluargaan yang harus diamalkan oleh mereka seperti kasih sayang terhadap keluarga dan tanggungjawab terhadap keluarga kerana tidak diberikan pendidikan kemoralan yang secukupnya.

Sebagai contoh, seorang anak yang sering dipinggirkan oleh ibu bapa dan tidak dididik dengan baik supaya mencapai akhlak yang mulia akan menimbulkan perasaan tidak prihatin terhadap ibu bapanya dan akhirnya menempatkan mereka di rumah orang-orang tua apabila anak tersebut menjadi dewasa.

Pendek kata, sekiranya anak-anak tidak menerima pendidikan agama dan kemoralan yang sempurna sejak kecil lagi, mereka akan mudah terpengaruh oleh konsep-konsep negatif sehingga sanggup menempatkan ibu bapa mereka di rumah orang-orang tua.

Dibina dengan Hugo
Tema Stack direka oleh Jimmy